Sunday, February 2, 2014
Assalamualaikum WBH dan selamat malam kepada semua
tetamu yang hadir pada malam ini
Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara
Yang berbahagia Ibunda saya, Puan Andi Suryati bte
Nurdin serta seluruh keluarga dari pihak perempuan.
Yang berbahagia kedua ibu bapa mempelai lelaki, Encik
Rasid Abdul Gapar dan Puan Rosnani Amir serta semua ahli keluarga dari pihak
lelaki.
Saya abang kepada pengantin perempuan berucap mewakili
pihak ayahanda saya mengucapkan selamat datang kepada semua hadirin dan hadirat
sekalian
Asal dari Bukit Siguntang,
Kisah hikayat tidak terperi
Kami mengucap selamat datang,
Hadir tuan dan puan menambah seri
Terima kasih kepada semua tetamu yang datang baik jauh
mahupun dekat. Terutamanya kepada tetamu yang datang dari Beluran, Lahad Datu
mahupun Tawau.
Orang ke laut menjala udang,
Petang hari pasang pelita,
Yang ditunggu sudah pun datang,
Yang dinanti sudah pun tiba.
Ucapan salam daripada ayahanda saya kepada semua
hadirin dan hadirat yang hadir pada malam ini. Untuk makluman ayanhanda saya
tidak dapat hadir bersama-sama kita kerana keadaan kesihatan beliau yang tidak
mengizinkan
Buah pauh mari di kerat,
Alamat petang boleh dimakan
Pada yang jauh dan juga dekat,
Selamat datang kami ucapkan
Terima kasih juga kepada Tuan Hj Sainal, Puan Jaharai,
Andy Faizal & isteri serta semua ahli keluarga yag bertungkus lumus dalam
merancang dan melaksanakan majlis kita pada malam ini.
Kalau tidak kerana bulan,
Tidak bintang terbit pagi,
Kalau tidak kerana tuan dan puan,
Tidak majlis sepermai ini.
Saya berharap para hadirin berpuas hati dengan majlis
kami yang sederhana ini
Beli titi kayu belian,
Belian dibeli dari ulu,
Minta sudi lah hadirin sekalian,
Jgn segan jgn malu
Kepada kedua mempelai adinda Megawati dan Didi pula,
tahniah diucapkan di atas perkahwinan ini. Selaamt menjalani kehidupan sebagai
sepasang suami isteri
Buah delima buah sukun
Sungguh tinggi merasa gayat
Semoga hidup aman dan rukun
Jodoh kekal sepanjang hayat
Akhir kalam, segala kelemahan majlis ini datangnya
dari kami dan segala kebaikan adalah milik Allah SWT
Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali
Terima kasih saya ucapkan.
Wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum WBT
Subscribe to:
Posts (Atom)